Dalam usia menjengah 62 tahun, hero rali negara Karamjit Singh membuktikan dia masih lagi ‘Raja’ dalam laluan ladang kelapa sawit di Malaysia – semalam Karam menambah satu lagi koleksi gelaran juaranya dengan memenangi Rally of Asahan 2024 iaitu pusingan kedua Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) tahun ini!
Rali ini berlangsung di sekitar Pekan Asahan di daerah Jasin, Melaka. Dengan berlatar belakangkan Bukit Batu Lebah, kesemua SS berlangsung di atas permukaan batu kerikil dan tanah liat di Nyalas Property dan juga Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh. Tiga SS disediakan di mana kesemuanya berulang sebanyak tiga kali, secara tidak langsung menyediakan laluan sejauh lebih 100 km dengan 9 SS secara keseluruhan.
Sebanyak 17 kereta yang dilepaskan pada pukul 8.30 pagi di markas dan kawasan servis rali di Kompleks Japerun Asahan. Dan selepas aksi berlangsung sehingga sekitar pukul 3 petang dengan bunyi enjin serta letupan ekzos dari sistem anti-lag bergema di Pekan Asahan, hanya 10 buah kereta sahaja yang ‘terselamat’ dan berjaya menamatkan rali kali ini.
Karamjit Singh bersama juruarah Vivek Ponnusamy yang memandu Subaru Impreza WRX dari pasukan MRU Motorsport jelas mendominasi rali ini dengan memenangi 7 dari 9 SS tersebut. Beliau dikejar rapat oleh seorang lagi pelumba rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin dengan bantuan juruarah Kamrul Anuar Mohd Razzali, juga menggunakan Subaru Impreza WRX GDB, memenangi SS3 ketika tayar Karam pecah dan juga di SS8 seterusnya menamatkan rali ini sekitar 2 minit di belakang.
Selain membawa pulang trofi keseluruhan, Karamjit dan Haji Sutan juga masing-masing membawa pulang trofi juara dan tempat kedua untuk kelas M12 (2,000 cc ke atas) dan kelas 4WD. Apa yang mengejutkan tempat ketiga adalah milik pasukan dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari dan juruarah Muhamad Firdaus Musa yang hanya memandu Proton Satria 1.8 liter NA pacuan roda hadapan dalam kelas M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD.
Juga tampil membuat kejutan adalah Dinie Nazmie bersama juruarah Nazam Shah Sulaiman yang berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan hanya dengan Proton Satria 1.6 liter NA pacuan roda hadapan. Ini membolehkan Dinie turut merangkul juara kelas M10 (sehingga 1,600 cc) dan tempat kedua untuk kategori 2WD.
Dengan hanya 10-kereta yang berjaya menamatkan cabaran, sudah tentu Rally of Asahan 2024 menyajikan pelbagai drama. Nasib tidak menyebelahi pasukan Saladin Rallying yang mempertaruhkan dua buah kereta dan dijangka bakal memberikan saingan sengit, tetapi kedua-duanya terpaksa bersara awal.
Jentera prototaip Mini Deus 1.8 liter turbo 4WD yang dipandu teras pasukan tersebut iaitu Saladin Mazlan bersama juruarah Arish Qutb terkandas pada SS1 seterusnya tidak dapat meneruskan langsung rali ini. Manakala Satria Neo yang dikemudi oleh anaknya Ibrahim Saladin bersama juruarah muda Victor Chong juga tidak bernasib baik di mana lengan suspensinya patah pada SS2, kemudian timing belt pada enjin jentera itu pula putus pada SS3.
Pada SS2 juga menyaksikan Proton Satria 1.6 pasukan Purnama Rally Crew yang dipandu oleh Ikhsan Husni patah lengan suspensi belakang kiri, memaksa juruarahnya Teh Yie Sing duduk di bahagian bonet hadapan sebelah kanan bagi memastikan kereta boleh dipandu dan dibawa pulang ke kawasan servis untuk diperbaiki.
Perkara yang hampir sama berlaku pada Khairul Nizam dari pasukan Sucmuci Motorsport, di mana Proton Iriz 1.6 liter turbo 4WD yang dipandunya patah lengan suspensi belakang sebelah kanan pada SS terakhir iaitu SS9. Bagi memastikan Iriz tersebut boleh terus bergerak ke garisan penamat, juruarahnya Shahrol Zainal terpaksa ‘bertenggek’ pada pintu kiri hadapan. Usaha itu berbaloi apabila Nizam dan Shahrol menduduki tempat ke-6 secara keseluruhan serta kedudukan ke-4 dalam kelas M12 dan 4WD.
Untuk seorang lagi pelumba pasukan Purnama Rally Crew iaitu Hashrul Jamaludin bersama juruarahnya Azrul Fahmi dengan jentera Proton Satria 1.3, selepas bernasib tidak baik dalam dua rali sebelum ini, Rally of Asahan 2024 meninggal kenangan manis apabila dia berjaya menduduki tempat ke-9 secara keseluruhan serta bergelar juara kategori M9 (sehingga 1,300 cc).
Rally of Asahan 2024 ini juga berjaya menarik penyertaan dari pelumba dari luar negara. Pelumba wanita dari India, Nikeeta Takkale bersama juruarah Musa Sherrif berjaya menamatkan rali ini di tempat ke-10 secara keseluruhan dengan memandu Proton Satria Neo pasukan MRU Motorsports. Manakala Arjianshah Musa dari Indonesia yang sepatutnya beraksi dalam rali ini dengan membuat penampilan pertama jentera Rally2 di Malaysia terpaksa menarik diri kerana Skoda Fabia Evo Rally2 miliknya tidak berjaya sampai ke Asahan atas beberapa masalah.
Keputusan penuh MIRC Rally of Asahan 2024:
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.