Pada 2019, kementerian kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan telahpun menyediakan Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019, yang telah digazetkan pada hari terakhir tahun tersebut. Peraturan ini sepatutnya telahpun mula digunakan pada 2020, tetapi dengan beberapa penangguhan, ia akan bermula awal tahun depan dan dijangka akan menyebabkan harga kereta-kereta yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia akan naik. Mengapa?
Peraturan-peraturan ini akan menetapkan cara baharu untuk mengira Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan-kenderaan CKD. Sebarang peningkatan pada OMV ini akan meningkatkan jumlah cukai dan seterusnya, harga jualan kenderaan tersebut.
OMV boleh didefinasikan sebagai harga pasaran muktamad kenderaan CKD tersebut selepas keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan sebarang duti eksais ke atasnya. Jadi secara asasnya ia terdiri dari kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta kos pemasangan dan pantadbiran. Ia tidak sama dengan sistem yang digunakan untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) di mana untuk jenis ini harga tersebut adalah berdasarkan Kos, Insuran dan Pengankutan (CIF) yang akan dikenakan duti import dan eksais.
Berbalik pada CKD dan OMV – peraturan-peraturan baharu ini menetapkan bahawa dalam mengira OMV, ia bukan hanya perlu mengambilkira keuntungan dan perbelanjaan am yang ditanggung atau diambil kira dalam pembuatan kenderaan, tetapi juga penjualannya.
Klausa “jualan” inilah yang menggusarkan pemain industri, kerana ia melibatkan bidang seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, karya seni, kerja reka bentuk, pelan dan lakaran, pembayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagangan, hak cipta). Ia boleh dianggap sebagai ‘kos kilang’ ditambah dengan ‘kos pejabat’.
Seperti yang disebut tadi, peraturan baharu ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun 22 hari selepas sambutan tahun baharu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa kementerian kewangan telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga 2021, dan menambah bahawa peraturan baharu itu akan menyebabkan harga kereta CKD naik sebanyak 20%.
Menjelang akhir 2021 ia ditangguhkan lagi, dan MAA terus sekali lagi membuat rayuan kepada kerajaan pada 2022 – kali ini ia berjaya ditangguhkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2024. Jadi masih ada berbaki 12 hari dari sekarang, dan jika tiada pengumuman rasmi untuk satu lagi penangguhan dibuat, setiap syarikat yang memasang kereta di Malaysia mesti mematuhi peraturan baharu berkenaan, mengikut undang-undang.
Selain dari perancangan, ramalan dan operasi yang sukar bakal dialami oleh pembuat kereta kerana ketidakpastian ini, kita sebagai pengguna biasa juga mungkin perlu membayar lebih untuk petrol RON 95 mulai pertengahan tahun depan kerana penyasaran subsidi, kenaikan-kenaikan harga yang terhasil daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan, serta perlu membayar harga sehingga 20% lebih mahal untuk kereta CKD. Ini antara faktor yang diambil kira oleh penganalisis yang meramalkan jualan kereta dalam negara akan lebih rendah pada tahun hadapan berbanding tahun ini.
Walau bagaimanapun banyak yang boleh terjadi dalam masa 12 hari ini, seperti penangguhan kedua yang diumumkan dua hari sebelum tahun baru. Namun sekiranya ia tidak ditangguhkan, harga untuk kereta-kereta CKD tentunya boleh naik sehingga 20%.
Kami juga terfikir – sekiranya harga untuk kereta-kereta CKD naik, mungkin ini akan menyebabkan pengeluar tawar hati untuk meneruskan operasi pemasangan mereka di sini, dan lebih baik mengimport terus unit-unit CBU kerana harganya akan lebih kurang sama. Sekiranya perkara itu terjadi, kerajaan juga mungkin akan kehilangan pelaburan jangka masa panjang dalam negara, dan yang paling penting ia mungkin akan mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
Tetapi sekiranya ia sekali lagi ditangguhkan, apa agaknya yang bakal kerajaan buat dalam jangka masa pendek untuk menambah hasil kutipan cukai? Sama-sama kita lihat perkembangan isu ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.